Thursday, August 26, 2010

Hati Perasaan.

Seketika menziarahi taman hati.
Tunggul pohon derita masih utuh lagi tertanam di pusara hati.
Tunggul dari sepohon derita yang tumbuh hasil siraman air mata.
Pusara yang kusemadikan kenangan ini usang benar.


Kesedekahkan kata-kata indah,
Kubersihkan pusara hati itu.
Maafkan aku, sesekali aku hampir lupa pada kamu.
Sesekali aku amat lupa pada kamu.
Maafkan aku.


Ramadhan ini,
Derita kamu terpapar pada luas skrin langit.
Ketabahanmu berdayung di laut airmata.
Sesekali bayu sayu menyapa lesu tubuh kerdilmu aku dengar zikir selawatmu.
Hati kecilmu remuk.
Aku lihat kau bangkit mengutip serpihan harapan berbekalkan kasih tuhan.

Aku disisi pusaramu,
Aku akan menemanimu,
Maafkan aku jika aku lupa padamu.
Kamu yang mengemis ketenangan , sujud di kaki gunung rahmat menagih hujan kasih merembes gerimis.
Aku hanya mampu melihat kamu basah dalam air mata doa memohon kekuatan.
Aku melihat kamu menongkat bangkit ketika lumat ditombak benci!
Aku lihat kamu berdiri lalu berlari dari lembah sepi,
Tika aku aku hanya mampu melihat kamu terus berlari,
Akan kuziarahi tiap kali aku teringat akan sedu sedanmu memohon ketenangan di kaki langit tuhan.


Ku abadikan pusara hati ini buat kamu, temanku.


Kamalia.
9.01 malam
sunway
26 ogos 2010

No comments: