Showing posts with label Antologi Perasaan. Show all posts
Showing posts with label Antologi Perasaan. Show all posts

Wednesday, September 22, 2010

Sunyi...

Irama sunyi mula menitik dari gupalan perasaan,
Hitam malam memadamkan lagi bayang perasaan ,
Aku sendiri menempuh malam yang malas berputar.
Resah mengundahkan!
Sepi menjadi hidangan kesunyian.

Ketawa aku sebentar tadi hanyalah sekerdip bintang berkelip,
Sunyi ini mengutus warkah kosong pada perasaan.
Perasaan bertambah kosong!

Kesepian ini memerah resah.
Keselimuti malam dengan kesunyian,
Hitam bertambah hitamnya,
Kubisikkan pada malam..... sunyinyaaaaaaaaaaa.


Kamalia.
9.53 malam
22 Sept 2010.
sunway

Monday, September 6, 2010

Lorong-lorong Perasaan

Di celah kesibukkan ,
Masih ruang tersisa pada lorong-lorong perasaan ini,
Terperangkap dalam hutan manusia yang mencari entah apa aku masih mampu merasakan ia.
Kerinduan yang mengalir panas sederu darah tubuh ini,
Kerinduan yang menjadikan malam dingin ini menjadi bertambah dingin.
Kerinduan makin membeku tika kesepian mencapai tangga di bawah takat beku.
Kegerakkan tangan dan kaki agar perasaan ini masih ada lorong untuk kulaungkan namamu.

Lorong-lorong itu makin sempit dengan kesibukkan,
keriuhan dek pencari yang tidak pernah ketemu apa yang dicari.
matanya masih mencari.
Lorong-lorong sempit ini membuahkan dusun kerinduan.
Putik kemesraan makin ranum, harumnya mengindahan kelam malam,
kerinduan menjadi bebintang berkelip menghitung saat-saat pertemuan.
Langit malam menjadi kanvas perasaan menekan kekunci kata lalu dihantar pada blog perasaan.

Sesekali malam yang kelam ini bercahaya!
Ada isyarat yang kunanti,
Kejauhan membuat perasaan menjadi sempit dan terhenti pada lorong-lorong penyoalan.
Mengapakah?
Bagaimanakah?
Bolehka?
Soalan-soalan yang dijatuhkan dari muatan perasaan ini membuta lorong-lorong perasaaan makin sempit.
Sempit menjadi makin sempit, amat sempit !
Hitam malam ini akan kucoretkan dengan soalan-soalan berwarna.
Tataplah dada malam .


Kemungkinan tanpa sesuatu yang mungkin ini membuat aku sang kecundang di gelanggang perasaan.
Panggilan yang tidak bersahut.
Kerinduan yang payah benar untuk kusandarkan menjadi aku sang gagal yang kecundang.
Tika inilah lorong-lorong perasaan makin padat dengan soalan-soalan yang menyesakkan.
Soalan-soalan merkah menanti jawapan.
Musim kemarau melanda lorong-lorong perasaan.
Kerinduan menjadi merkah dan kontang menanti titis demi titis airmata.


Kusujudkan kerinduan pada sejadah malam.
Kubisikkan keresahan,
Malam hitam ini basah dengan sendu tangis,
Ada seseorang di lorong perasaan itu.
Makin kecil dan menjauh... ditinggalkan!

Kamalia.
9.18 malam.
sunway
isnin
7 sept 2010

Thursday, August 26, 2010

Hati Perasaan.

Seketika menziarahi taman hati.
Tunggul pohon derita masih utuh lagi tertanam di pusara hati.
Tunggul dari sepohon derita yang tumbuh hasil siraman air mata.
Pusara yang kusemadikan kenangan ini usang benar.


Kesedekahkan kata-kata indah,
Kubersihkan pusara hati itu.
Maafkan aku, sesekali aku hampir lupa pada kamu.
Sesekali aku amat lupa pada kamu.
Maafkan aku.


Ramadhan ini,
Derita kamu terpapar pada luas skrin langit.
Ketabahanmu berdayung di laut airmata.
Sesekali bayu sayu menyapa lesu tubuh kerdilmu aku dengar zikir selawatmu.
Hati kecilmu remuk.
Aku lihat kau bangkit mengutip serpihan harapan berbekalkan kasih tuhan.

Aku disisi pusaramu,
Aku akan menemanimu,
Maafkan aku jika aku lupa padamu.
Kamu yang mengemis ketenangan , sujud di kaki gunung rahmat menagih hujan kasih merembes gerimis.
Aku hanya mampu melihat kamu basah dalam air mata doa memohon kekuatan.
Aku melihat kamu menongkat bangkit ketika lumat ditombak benci!
Aku lihat kamu berdiri lalu berlari dari lembah sepi,
Tika aku aku hanya mampu melihat kamu terus berlari,
Akan kuziarahi tiap kali aku teringat akan sedu sedanmu memohon ketenangan di kaki langit tuhan.


Ku abadikan pusara hati ini buat kamu, temanku.


Kamalia.
9.01 malam
sunway
26 ogos 2010

Thursday, August 12, 2010

Laut Perasaan

Berlayar di laut perasaan,
Layarnya adalah tenunan kenangan,
Sesekali bayu malam kelam menghembuskan nafas kerinduan,
Berombak juga laut perasaan yang sekian lama tenang.

Laut perasaan dialuni ombak yang membisikan kerinduan,
Deru ombak itu membuat hati terharu,
Kubelai ombak dengan halus jemari lantas kubisikkan,
" Aku tahu, keluhanmu lewat malam ini adalah himpunan jutaan buih kedukaan. Berhempaslah dikau ombak, akan kutintakan bebuihmu. "
Ombak sepi seketika,

Laut perasaan menjadi sepi,
Ombak bagai terlena,
Tiba-tiba, ombak bangkit lalu terus berlari ke dada pantai.
Tidak kutahu apa yang berlaku,
Aku hanya mendengar ratap ombak di dada pantai.

Laut perasaan ini begitu luas untuk aku lawati,
Sesekali aku akan hadir,
Kau kumpullah segala cerita,
Kau himpunlah segala kata,

Kelak tika kita bersua,
Bisikkan pada aku kerinduanmu,

Kelak tika kita bersua,
Laungkanlah keresahanmu.

Laut perasaan terlena sepanjang malam,
Tidurlah,
Simpanlah tenagamu laut perasaan,
Beradulah kamu diselimuti gebar malam.


Kamalia,
13 Ogos,
sunway,
2010

Monday, June 21, 2010

Hujung Nyawa Perasaan

Pada hujung nyawa perasaan ini,
kukemudikan mahu,
kunakhoda layar rindu tika bayu lena bertiup.
Bahtera perasaan ini perlahan berlayar di lautmu.

Senja itu, kuhirup perasaan yang lahir,
Kuning senja itu ada kerinduan merayap menjalar meraba kesepian,
Aku relakan kesemuanya,
Rindu ini dipenghujung perasaan,
Kerinduan ini meneghimpit aku antara gunung sedar dan kon konkrit iman.
kita lebur pada sinar mentari yang makin hampir memaling siang.

Senja itu kutebarkan jala rahsia ke dasar laut perasaan,
Angin yang kaku itu membuat nafas kita makin jelas.
Udara yang disedut dihembus memanaskan kita.
Perasaan kita berlari berpegangan tatkala lagu cinta berirama.

Penghujung nyawa perasaan ini,
Aku makin gusar waktu-waktu indah ini tidak lagi menemani kita,
Angin yang berhenti ini seolah mengizinkan aku menghembus kata-kata.
Hingga ke penghujung nyawa perasaan aku akan sentiasa mahu rasa cinta ini untukmu.

Kaki langit lewat senja itu menjadi tapak aku membina istana angan.
Mampukah kita mengaejar waktu yang enggan menunggu.
Aku dan kamu mengejar saat-saat indah itu,
Berpegangan tangan,
Kau nyatakan betapa kau rindukan bahagia,
Aku hanya tertunduk.....
Akan diizinkan senja itu untuk kita tatap bersama.

Azan berkumandang,
Perasaan terhenti.... udara dan isi-isi udara itu bergegas...
Ada amanah yang mesti didahulukan.
Cinta itu tersemat kemas.
Doakan hujung nyawa perasaan ini.

Kamalia.
22 jun 2010.
7.57 pagi
Sunway, Kamar.

Sunday, June 20, 2010

Rimbun Perasaan

Denai yang masih diselimuti embun malam itu kulalui,
Sejuk malam masih melekat pada hujung dedaun yang mesra,
Aku menjadi tamu paling awal di hutan kecil itu.
Hijau warna pepohon mewarnakan ketenangan pada perasaan.

Udara segar pagi itu menjadi santapan deriaku.
Hutan kecil yang rimbun dan segar ini menyambutku.
Perasaan ini menjadi hijau dan merimbun dengan kata-kata segar.
Ada perasaan menyelinap,
Denai usang itu menyambut ketibaanku,
Hati tersentuh dan pagi itu mata ini menatap mentari pagi,

Aku bisikkan pada mentari betapa pagi yang dingin ini aku begitu sayu,
Keindahan alam ini akan kukongsikan,
Akan kuabadikan keindahan,
Akan kurakamkan perasaan yang merimbun.
Hijau merimbun.
Segar memayungi bumi.
Setia melindungi pepohon.

Bilakah lagi kaki ini akan menapak lagi di tanah kelahiran.


Kamalia,
20 jun 2010,
9,00 malam
sunway

Tuesday, June 8, 2010

Mahukah?

Gelanggang mata ini memerhati tingkah manusia,
Di kota besar, ibu negara sebuah negara berlatarkan kereta berjenama luar dan dalam negara,
mata ini menjadi pemerhati.

Gelagat terfokus pada pencarian diri,
meneliti fizikal manusia-manusia yang memasuki bingkai pandangan,
pandangan tertumpu pada sebatang tubuh tua,
Tubuh yang diheret tika kessibukkan menjadi agenda utama jalan raya,
Kesibukkan lalulintas menenggelamkan seketika pandangan,
terus diperhati manusia-manusia yang melintasi latar kota raya.

Pelbagai gaya, pelbagai rupa, asap rokok, asap kendera memenuhi suasana,
Namun, gaya seorang wanita itu menamukan tanda tanya.
Apakah yang dicarinya?
Ke manakah arah tujunya?
Haluannya ke mana?

Manusia di ibu kota,
Di dada mereka apa cerita yang bercerita,
Di mata mereka aapakh yang ingin dilihatnya,
Menjadi pemerhati antara mata-mata yang terbuka luas,
Menjadi pendengar antara bunyi2 yang bercampur aduk.

Gelagat manusia di kota ini, memaksa aku menjadi kecil,
Apa yang difikirkan mereka menjadi besar pada pandangan.
Sesekali mata bertentang, tanpa senyuman pandangan hanya sekilas pandang,
Apa yang kalian mahukan dalam kesibukkan ini.
Laluan sehala membuat kita menjadi mangsa aliran kesesakakn yang memualkan.
Manusia boleh hilang kemanusiaannya,
Sepi akan hilang kesepiannnya,
keriuhan akan tenggelam dalam keributan aliran trafik.

Masih mencari soalan.
masih mengutarakan soalan.
Mahukah aku?
Menghambakan diri?
Tunduk mengutip setiap keluhan yang dilemparkan.
Kemahuan ini terlalu rumit.


Kamalia
3.19
....
....

Monday, June 7, 2010

Menunggu kata-kata

Penghujung tarikh hari ini aku masih menunggu kata-kata yang kuperam di dasar jiwa,
patah-patah kata yang kukutip disetiap tapak yang kutapak,
patah kata-kata yang hadir di sudut fikiran setiap kali bola mata ini melebahkan jala pandangan.
Keindahan itu lahir bukan hanya dari kegembiraan, jua lahir dari kesepian, kedukaan dan keperitan.
Mata ini tidak pernah berhenti merakam keindahan yang memabnatua aku melahirkan kata-kata indah.
Ku hentikan segala kemahuan yang menampar-nampar dangau perasaan,
Ada kata-kata yang menunggu dalam katup bibir ini untuk kusenyawakan di hamparan maya ini.
Kata-kata yang lahir dari gabungan pemerhatian, simpati, empati dan emosi, secalit spiritual aku sentuhkan.

Melihat manusia-manusia membuat aku mengenali kemanusiaan,
Melihat kecantikkan membuat aku memahami kemahuan,
Melihat ketuaan memaksa aku mencerminkan kekhilafan, kesilapan-kesilapan yang menjadi selimut malam.
Mata ini lensa tajam, utusan fikiran untuk menafsirkan ilham.
Maafkan kalian segala objek alam yang menjadi rujukan memuntahkan ilham.

Aku menunggu kata-kata yang dapat memuaskan fikiran,
kata-kata yang akan menjadi teman.


Kesibukkan tugasan harian memaksa aku mengheret kalian , kata-kata melalui kesibukkanku.
Awal pagi ini, aku muntahkan kalian, kalian kata-kata yang bersamaku menjadi krew ke arah melahirkan skesta untuk tontonan mata dan jiwa mereka yang sudi memahami.
Manusia setiap geraknya itu menyumbangkan kata,
Aku akan terus memerhati...

Kehidupan ini mematangkan kata-kata,
Akan ku tunggu hadirmu... kata-kata.


Kamalia.
12.59 malam.
8 jun 2010,
sunway

Wednesday, June 2, 2010

Menyoal Perasaan.

Malam sunyi ini menjadi pendengar setia dengkur lena.
Mimpi menyelinap menyusup mengindahkan lagi lena.

Kelam yang sepi ini mengheret perasaan jauh ke dasar laut hitamnya.
Di dalam laut itu aku menemui pelbagai soalan,
Menyoallah perasaan pada soalan-soalan yang ingin disoalkan.
penyoal itu menyoal perasaannya.

Laut malam kian gelora,
Bayu kaku seketika mencari jawapan.
Kehidupan ini lautan maha luas, tiada penjuru arusnya.
Laut itu menelan semua soalan, keluhan, rintihan, rayuan.
Dihanyutkan ditelan buih-buih ombak.


Tiba ketika, semua soalan itu akan ditafsirkan pada deru ombak yang membelai.
Tiba ketika, jawapan-jawapan akan diisyaratkan oleh laut.
Deru angin membelai rambut sambil memujuk penyoal,
Ganas ombak mengisyaratkan kemarahan,

Itu laut,
Bukan aku,
Bukan dia,
Bukan kamu,
Bukan mereka.

Namun,
kita sering menyoal laut,
Kita sering berbisik pada laut,
Kita sering melaungkan keperitan pada laut.
Laut hanya mampu mendengar .


Malam ini makin sunyi.
Kesunyian menjadi sepekat hitamnya malam.


Kamalia.
12.46 malam.
3 Jun 2010,
sunway

Tuesday, June 1, 2010

Cerita Perasaan

Pagi yang masih mentah ini diisi dengan cerita.
Aku menjadi pelakon utama didalamnya memerhati lakonan.
Cerita itu menghiasi lena yang kosong.
Cerita yang berterusan sehingga memunculkan jaga.

Cerita apakah ini?
Duhai perasaan , cerita apakah ini hinggakan jaga ini menjauhkan lena.
Kotak fikiran mula penuh dengan tanda baca.
ayat-ayat mula menjadi rencana menafsirkan cerita itu.

Cerita perasan ini akan mengheret semua makhluk perasaan,
penghuni-penghuni hati akan bersidang.
persidangan tergempar!
Telah hadir sebuah ilham dan kita tidak boleh diam.
Perasaan ini mula mengait tali perasaan ini.
Kerisauan menajadi pisau yang menyiat-yiat perasaan.
Airmata akan jadi darah .
Bibir akan terkatup tidak pula makhluk mulut.


Cerita perasaan itu menganggu lena.
Lena menjauh dari sedar.

Pagi ini masih merakam perasaanku,
Mencari jawapan.

Kamalia,
4.21 pagi,
2 Jun 2010,
Sunway.

Tuesday, May 25, 2010

Lelaki itu.

Aku cuba memahami lelaki itu,
Dunia lelaki.
Apakah yang diperlukan lelaki,
Apakah kebencian lelaki,
Apakah kesukaan lelaki.

Lelaki itu,
Apakah bau kesukaannya,


Lelaki itu, cinta padanya pembakar semangat tika keringat kering di bahang mentari.
Lelaki itu, dihatinya penuh rasa cinta.


Senyum lelaki itu,
Ketawa lelaki itu.

Lelaki itu, di sisinya peneman bicara, isteri yang membahagiakan.


Lelaki itu ingin dibahagiakan.
Tutur katanya mendambakan kemesraan.

Mengenali lelaki itu, memahami sepenuhnya lelaki itu.
Aku memiliki hati lelaki itu,
Seluruhnya milik aku.


Lelaki itu, aku makin memahamimu.



Kamalia. 2.22 petang. 26 mei 2010. SKBS

Perpisahan dan Pertemuan.

Perpisahan.
sepucuk warkah pengganti diri ku kirimkan.
Terpisahlah kita dari ikatan kasih.
Kesibukkan tugasan harian menghilangkan semua catatan warkah tersebut, tetapi tidak kamu teman.
Masa berlalu, kenangan itu makin luntur. reput dan merapat ke dada bumi tuhan.
Bumi basah dan dahaga bersilih ganti.
Malam mengelapkan pandangan,
Mentari menyilaukan siang,
Pagi mengheret waktu menjadi petang.
Hari menjadi minggu, minggu bertukar bulan,
Bulan berputar 12 pusingan membulatkan pusingan tahunan.

Perpisahan itu jadi kenangan,
Kenangan hanyalah sulaman-sulaman perasaan yang kau jalin disebalik sibuk simpang siur kehidupan.

Perpisahan itu menghadiahkan kedewasaan.
Perpisahan itu mendewasakan kita menentukan pilihan.
Kehudupan menjadi hidup dengan cinta.
Kenikmatan menjadi nikmat.
Masa berlalu , kenangan indah menjadi layu.
kehidupan mula membiak benih-benih cinta.
Kesibukkan melayan karenah benih-benih cinta itu melenyapkan kenangan.


Kehidupan menjadi hidup.
Impian menjadi kenyataan.
Mimpi bukan lagi igauan.
dan....

Pertemuan terjadi.
Pertemuan menemukan semula ingatan kenangan yang lama ditinggalkan.
Soalan diutarakan,
Jawapan menjadi hala tujuan.
Mampukah kita menyoal jawapan yang sudah kita genggam.
kecewa menjadi kekecewaan,
pencarian mencari jawapan yang disoal.
Jawapan bukan hak kita untuk ditentukan.
Pertemuan ini mendewasakan perasaan.
Pertemuan ini memagtangkan harapan.

Kita dewasa antara perpisahan dan pertemuan.



Kamalia.
11.02 malam
25 mei 2010
sunay

Senja di Tanjung Dawai

Senja itu menghidangkan pemandangan indah,
Keindahan itu dirakam puluhan lensa dan video.
Mata ini terpaku pada seorang teman,
senaskah tafsir al-quran ditangannya dibuka,
beberapa muka surat dari tafsir itu dibacaanya.

Mata ini hanya memerhati riak manisnya.
sesekali dia akn menoleh dan melemparkan senyuman,
Senja itu diperdengarkan aluan azan maghrib,
Sekumpulan peminat herba itu berangkat pulang.

Maghrib kali ini berlainan benar,
Tanjung Dawai membekukan keriuhan kami,'
Zikir dan Doa menjadi nada meriba malam yang tiba.

Pandangan jadi kelam.
Malam jadi hitam.
Perjalanan diteruskan.

Kamalia.
10.44 malam.
25 mei 2o10. sunway

Kamalia

Kenangan itu disemadikAn di dasar perasaan.
Kusemadikan jauh dari ingatan.
Kenangan itu ingin jauh aku lenyapkan.
Kenangan iti ingin ku hilangkan.

Namun, masih aku dengar lagi,
masih aku dengar lagi keluh rintih yang membuat perasaan ini sedih.
Pusara kenangan di dasar hati ini basah lagi dengan titis airmata.
Hati pedih.
Hati jadi letih.
Perasaan ini menyoal persoalan persoalan yang diutarakan dari tema sebuah cerpen perasaan.
Tidak mengertikah kalian kenangan itu telah aku semadikan.

Aku bangkit menanggalkan kafan yang basah dengan air mata.
Aku bogelkan kenangan, aku lahirkan sebuah perasaan.
Aku mahu mengutip semua kenangan yang aku tinggalkan.
Akan kuisi kekosongan kenangan ini.

Kalian masih belum puas kerana kuntum senyum ini masih mekar.
Masih mekar hingga serinya menenggelamkan keriuhan hati.
Kalian dengarkah sedu sedan yang menjadi zikir menghiasi sepi malam.
Kalian dengarkah doa-doa kecil yang berbisik pada langit tuhan.
Kalian dengarkah?

Sepatah kata mampu mematahkan semangat yang rapuh ini.
Semangat ini bernafas kerana ia masih diperlukan.
Cukuplah kalian senyum melihat aku masih mampu menapak di hijau bumi tuhan.
Cukuplah kalian memandang keindahan yang masih mampu kesedekahkan.

Tiba masa, akan ku turut berbaring di sudut pusara perasaan.
Akan kujenazahkan segala kenangan.
Akan kukafankan segala keindahan.
Dan untuk kalian akan ku tinggalkan sekuntum senyuman.
Senyuman yang akan menjadi kuntum yang mengharum laman persahabatan.

Terlalu letih menghitung kepedihan.


Kamalia. 8.56malam. 25 mei 2010. sunway

Thursday, May 20, 2010

Merindui Kerinduan

Ribut kecil lewat petang tadi mendodoikan perasaan ini,
Hati jadi sayu, namamu aku seru dalam kelu,
Rindu menjadi kerinduan, merindukan perindu yang ditinggalkan.
Ribut kecil ini membawa khabar perasaanmu,
Pesanan di angin lalu itu aku jawab.

Maafkan aku, aku juga merindu,
Berayun-ayun perasaan ini mengingatimu,
Maafkan aku..aku hanya mampu mendoakan kebahagiaan,
senyuman yang kau berikan cukup memberi kekuatan,
Perpisahan sudah jadi kenyataan, jika diberi pilihan,..aku akan lebih sayangkan persahabatan.

Perasaan merindu ini adalah kerinduan,
Perasaan ini adalah perasaan, hanya perasaan,
Pepohon yang ditiup ribut kecil aku menghanyutkan perasaanku,
Dedaun itu menyegarkan ingatanku.
Tertunduk menahan sebak yang bertamu,
Aku akan kuat bertahan demi bahagaiamu,
Biar laut perasaan ini penuh dengan debar sebak merindu,
aku suka ia begitu.

Kerinduan ini mendewasakan perasaan,aku akan terus merindu dan akan kulaungkan pada angin lalu, aku rindu. kerinduan ini akan terus merindu.

Kamalia. 8.11. 20 Mei 2010. sunway

Thursday, May 13, 2010

Dadah Pemusnah Bangsa

Salam sejahtera,
salam sejahtera aku ucapkan kepada semua.

Barisan pentadbir yang saya hormati, P\
Para guru yang saya sayangi,
saudara-saudaraku,
rakan-rakanku,
adik-adikku.

Pagi cerah indah meriah ini ,
aku menghadirkan diri untuk meluahkan isi hati.
Hadirin sekalian,
Dadah pemusnah negara,

Ramai yang telah menjadi mangsa,
Mulanya hanya suka-suka,
Dari sebatang rokok, menular ke marijuana dan ketagihan memaksa mereka menjual nama,
Ketagihan mula dirasa,
Badan akan menggigil, keinginan meronta,
Ada yang sanggup mencuri, meragut malah lebih menyedihkan kawan-kawan,
Ada yang sanggup mencederakan ibu sendiri kerana dadah.

Kawan-kawan,
Mahukah kita jadi seperti mereka,
Sampah masyarakat!
Memalukan , menyusahkan keluarga!
Merugikan negara.
Tenaga muda kita ini untuk berusaha,
Kederat muda kita ini untuk bekerja.
Membalas jasa ibu bapa yang melahirkan kita.
Menjadi orang berjaya!

Mulai saat ini, kawan-kawan,
Marilah kita berjanji,
Marilah kita berjanji,
Berjanjilah,
Saya tidak akan merokok,
Saya tidak akan mengambil ganja,
Saya tidak akan mengambil pil estacy,
Saya TIDAK AKAN sesekali mengambil dadah.
SAYA TIDAK MAHU JADI PENAGIHHHHH!



Terima kasih kawan-kawan.
Usia muda ini untuk kita menuntut ilmu,
Jangan jadikan dadah pemusnah impianmu.
Aku berundur diri dahulu.
Terimakasih,
para penntadbir,
para guru,
saudara-saudaraku,
rakan-rakanku, adik-adikku,

Sekian terima kasih.



Sajak ini dicipta sempena Minggu Anti Dadah SK. Bandar Sunway, 2010. Kamalia, 14 Mei 2010, 7.25 pagi. sunway

Monday, February 22, 2010

Halaman Malam

Halaman malam ,
luas hening tanpa ombak keriuhan,
sesekali kerdip bintang memecah riak kelam halaman malam.
Kerdipan yang menyerikan kelam malam.

Malam yang hening begini jauh dari pekik jerit
Mimpi menjadi layar melayarkan perasaan
Kelam malam menjadi latar warna warni perasaan.

Kesedihan yang disimpan menguapkan bau kesayuan.
Lena terhenti.
Jaga membicarakan kata hati.
Terlakarkan catatan pada halaman malam yang kelam.
Putih impian,
Biru kenangan,
Kuning harapan,
Merah kegembiraan menyelimuti kanvas malam.
Malam yang hitam jadi meriah,


Kesedihan merintih berbisik pada kuping waktu perlahan detikmu,
aku masih belum puas mencumbu rindu.
Kelam malam ini gelanggang aku mencurahkan rasa gelora
kuombakkan laut malam.
Basahlah pantai mimpi dengan airmata.

Kamalia
1.48 pagi
23v Feb 2010
sunway

Sunday, February 21, 2010

Gebar Perasaan

Gebar malam menyelimuti perasaan.
Perasaan yang lenanya menjauh.
Ada rasa yang mereput.

malam ini perasaan merintih sedih.
Ada air mata pedih yang menitis.
Gebar malam itu basah dengan titis.
malam menjadi sayu.

Mimpi makin menjauhi perasaan.
Perasaan bangkit meninggalkan gebar malam.
Lena ditongkatkan malam menjadi skrin perasaan mencurah rasa.
Kerdip bintang jadi penyer kelam malam.
Di dalam kelam itu ada perasaan yang duduk mencari cahaya.
Cahaya yang sudah lama perasaan cita.

Kelam dan cahaya berpesta.
Gendang sedu sedan membentuk irama.
Perasaan lupa seketika pada duka.
Malam dingin bertukar panas..
Perasaan mula rimas.


Malam bagi perasaan adalah kanvas hitam maha luas.
Malam kelam adalah perasaan.
Perasaan adalah malam kelam.
Hitam adalah kenangan.
Kenangan yang menghitamkan perasaan.

Janji jadi perjanjian.
Rindu jadi kerinduan.
Cinta jadi percintaan.
Antara dua bibir, ada kata-kata yang lahir.

Gebar perasaan ini menyelimuti kedukaan malam,
kesepian malam. kesedihan malam.
Beradulah malam.. aku gebarmu..


kamalia mencatatkan perasaan.

2.35 pagi
22 Feb
2010
Sunway

Thursday, February 4, 2010

Muzium perasaan

Tertawa yang tawar rianya
diselangi kuntum senyum hambar
ada kekosongan yang merayap dari dasar hati
sepi sunyi menjadi kustom tubuh ini kaku bisu
kuheret perasaan melawat muzium duka.

Sebuah muzium perasaan yang menyimpan jutaan khazanah rasa.
tawaku membahagiakan
senyumku melalaikan mengubat kerinduan.
Potret dan nukilan merakam ribuan pengalaman.

Di suatu sudut, aku letakkan kepingan hati remuk.
Kusembunyikan kekecamukkan.
kurakamkan segala perasaan untuk pada suatu hari ini akan ada yang akan menjengok.


Muzium perasaan ini untuk jiwa yang masih mencari rasa.
Kegembiraan telah menjauh diseret lelehan masa.
hanyut terapung di lautan luas.
aku mahu lemas pada ombak yang mengganas,
namun ombak menyelimutiku dengan simpati...
aku terlena dan dibaringkan di pulau-pulau perasaan.

Pada sudut muzium perasaan ini, aku melihat segala rakaman perasaan.
kegelapan yang kelam itu memaksa aku mencari sedikit cahaya.
Ada cahaya samar-samar,
menyuluh malam membimbing perasaanku kembali sujud memohon kegembiraan itu kembali padaku.

Kegembiraan yang membahagiakan,
Kegembiraan yang jujur,
akan kutunggu saat itu.


Kamalia merakamkan perasaannya.
11.34 pagi
5 feb 2010
sunway

Wednesday, February 3, 2010

Pohon Keinsafan

Sepohon keinsafan berdiri megah di sebuah hamparan maha utuh.
Setia mencengkam bumi subur ini menghirup setiap titis yang mengalir,
Pohon itu makin tinggi, makin jauh dari bumi.

Siang, tika mentari garang memancar bumi,
Pohon itu gagah berdiri membayang pohon-pohon kecil , rumput-rumput menghijau.

Satu hari, di suatu malam yang sunyi.. pohon itu menangis.
Malam sunyi itu sebak mendengar rintih keluh pohon itu.
Malam itu makin sunyi dengan irama flora malam yang maha sayu.
Di celah-celah kesayuan itu, rintih pohon makin mendayu.

Pohon gagah itu melakarkan keinsafan di atas kanvas malam yang kelam.
Latar malan yang kelam itu menjadikan lakaran itu makin jelas.
Sedu dan rayu pohon yang insaf itu mendebarkan dada bumi.
Titis demi titis menitis ke atas daunan.
Malam yang kelam itu bertambah dingin.


Malam itu, pohon merintih,
Dosanya ,
penyesalannya,
Kealpaannya,
Akhirnya pohon itu terlena.
Daun -daun penyesalannya gugur menyelimut bumi malam.
Ada tunas muncul dari ranting dan dahan.
Tuhan menghidupkan keinsafan dan esok pohon akan segar dengan semangat baru.





Kamalia
10.04 malam
Sunway
3 Feb 2010