Tuesday, May 25, 2010

Lelaki itu.

Aku cuba memahami lelaki itu,
Dunia lelaki.
Apakah yang diperlukan lelaki,
Apakah kebencian lelaki,
Apakah kesukaan lelaki.

Lelaki itu,
Apakah bau kesukaannya,


Lelaki itu, cinta padanya pembakar semangat tika keringat kering di bahang mentari.
Lelaki itu, dihatinya penuh rasa cinta.


Senyum lelaki itu,
Ketawa lelaki itu.

Lelaki itu, di sisinya peneman bicara, isteri yang membahagiakan.


Lelaki itu ingin dibahagiakan.
Tutur katanya mendambakan kemesraan.

Mengenali lelaki itu, memahami sepenuhnya lelaki itu.
Aku memiliki hati lelaki itu,
Seluruhnya milik aku.


Lelaki itu, aku makin memahamimu.



Kamalia. 2.22 petang. 26 mei 2010. SKBS

Perpisahan dan Pertemuan.

Perpisahan.
sepucuk warkah pengganti diri ku kirimkan.
Terpisahlah kita dari ikatan kasih.
Kesibukkan tugasan harian menghilangkan semua catatan warkah tersebut, tetapi tidak kamu teman.
Masa berlalu, kenangan itu makin luntur. reput dan merapat ke dada bumi tuhan.
Bumi basah dan dahaga bersilih ganti.
Malam mengelapkan pandangan,
Mentari menyilaukan siang,
Pagi mengheret waktu menjadi petang.
Hari menjadi minggu, minggu bertukar bulan,
Bulan berputar 12 pusingan membulatkan pusingan tahunan.

Perpisahan itu jadi kenangan,
Kenangan hanyalah sulaman-sulaman perasaan yang kau jalin disebalik sibuk simpang siur kehidupan.

Perpisahan itu menghadiahkan kedewasaan.
Perpisahan itu mendewasakan kita menentukan pilihan.
Kehudupan menjadi hidup dengan cinta.
Kenikmatan menjadi nikmat.
Masa berlalu , kenangan indah menjadi layu.
kehidupan mula membiak benih-benih cinta.
Kesibukkan melayan karenah benih-benih cinta itu melenyapkan kenangan.


Kehidupan menjadi hidup.
Impian menjadi kenyataan.
Mimpi bukan lagi igauan.
dan....

Pertemuan terjadi.
Pertemuan menemukan semula ingatan kenangan yang lama ditinggalkan.
Soalan diutarakan,
Jawapan menjadi hala tujuan.
Mampukah kita menyoal jawapan yang sudah kita genggam.
kecewa menjadi kekecewaan,
pencarian mencari jawapan yang disoal.
Jawapan bukan hak kita untuk ditentukan.
Pertemuan ini mendewasakan perasaan.
Pertemuan ini memagtangkan harapan.

Kita dewasa antara perpisahan dan pertemuan.



Kamalia.
11.02 malam
25 mei 2010
sunay

Senja di Tanjung Dawai

Senja itu menghidangkan pemandangan indah,
Keindahan itu dirakam puluhan lensa dan video.
Mata ini terpaku pada seorang teman,
senaskah tafsir al-quran ditangannya dibuka,
beberapa muka surat dari tafsir itu dibacaanya.

Mata ini hanya memerhati riak manisnya.
sesekali dia akn menoleh dan melemparkan senyuman,
Senja itu diperdengarkan aluan azan maghrib,
Sekumpulan peminat herba itu berangkat pulang.

Maghrib kali ini berlainan benar,
Tanjung Dawai membekukan keriuhan kami,'
Zikir dan Doa menjadi nada meriba malam yang tiba.

Pandangan jadi kelam.
Malam jadi hitam.
Perjalanan diteruskan.

Kamalia.
10.44 malam.
25 mei 2o10. sunway

Kamalia

Kenangan itu disemadikAn di dasar perasaan.
Kusemadikan jauh dari ingatan.
Kenangan itu ingin jauh aku lenyapkan.
Kenangan iti ingin ku hilangkan.

Namun, masih aku dengar lagi,
masih aku dengar lagi keluh rintih yang membuat perasaan ini sedih.
Pusara kenangan di dasar hati ini basah lagi dengan titis airmata.
Hati pedih.
Hati jadi letih.
Perasaan ini menyoal persoalan persoalan yang diutarakan dari tema sebuah cerpen perasaan.
Tidak mengertikah kalian kenangan itu telah aku semadikan.

Aku bangkit menanggalkan kafan yang basah dengan air mata.
Aku bogelkan kenangan, aku lahirkan sebuah perasaan.
Aku mahu mengutip semua kenangan yang aku tinggalkan.
Akan kuisi kekosongan kenangan ini.

Kalian masih belum puas kerana kuntum senyum ini masih mekar.
Masih mekar hingga serinya menenggelamkan keriuhan hati.
Kalian dengarkah sedu sedan yang menjadi zikir menghiasi sepi malam.
Kalian dengarkah doa-doa kecil yang berbisik pada langit tuhan.
Kalian dengarkah?

Sepatah kata mampu mematahkan semangat yang rapuh ini.
Semangat ini bernafas kerana ia masih diperlukan.
Cukuplah kalian senyum melihat aku masih mampu menapak di hijau bumi tuhan.
Cukuplah kalian memandang keindahan yang masih mampu kesedekahkan.

Tiba masa, akan ku turut berbaring di sudut pusara perasaan.
Akan kujenazahkan segala kenangan.
Akan kukafankan segala keindahan.
Dan untuk kalian akan ku tinggalkan sekuntum senyuman.
Senyuman yang akan menjadi kuntum yang mengharum laman persahabatan.

Terlalu letih menghitung kepedihan.


Kamalia. 8.56malam. 25 mei 2010. sunway

Saturday, May 22, 2010

Ruang Perasaan

Masih ada ruang ,
Masih ada ruang untuk disemai benih harapan.
Siramilah dengan rintik kerinduan.
Biar benih itu tumbuh merimbun.
Akarnya akan menyedut kenangan yang pernah disemadikan.
Kelak akan berputik bahagia menjadi bunga indah menguntum senyum.
Harumnya seikhlas persahabatan kita, baunya bersih segar menyegarkan.

Bunga itu akan mekar,
Menghiasi latar alam ayang indah.
Jangan biarkan ia layu, tataplah dengan mata kenangan,
simpanlah dalam ingatan sekuntum kenangan yang dibingkaikan keikhlasan.

Masih ada ruang untuk ditaburkan harapan,
Masih ada ruang untuk menimbun kemaafan.
Ruang itu masih ada seluas hembus sedut, naik turun stadium nafas ini.

Ruang itu masih mampu melangsungkan pertandingan perasaan.
Ruang perasaan itu ada.
Masih kukuh binaannya.




Kamalia. 11.09
23 Mei,
2010
Sunway

Santai..






selamat hari guru.. 2010..

Thursday, May 20, 2010

Jenazah perasaan.

Senyuman ini tampalan dari kedukaan,
Parut kelukaan kukatup rapat.
Kutimbus segala kepedihan,
Kubajai lembah duka bah airmata dengan tawa derai gunda senda
Kan kujadikan lembah itu pentas keriangan.


Akulah pelakun pentas keriangan menghiburkan mengasyikkan,
Tika ketawa mencipta rentak irama bahagia aku akan jadi sedikit lupa.
Senyuman ini kusedekahkan pada penduka,
Senyumlah kalian, berbahagialah...


Tiba masa, tika aku perlu menitis air mata, aku akan pergi jauh,
Kan ku titiskan kedukaan pada setiap tapak langkahku,
Hati akan menjerit,
Kelukaan merah berdarah itu akan menjadi baja membajai semangat ini.
Tidak akan aku lemah pada lajunya titis air mata,
Setitis air mata adalah pembakar semangatku.

Kedukaan ini milik aku untuk kunikmati,
Kepiluan ini hak mutlak aku untuk aku kenangi.
Kesayuan ini akan kuukirkan pada merah isi hati,

Aku masih mampu menguntum senyum seikhlas niat hati,
Kusedekahkan kegembiraan yang bersisa ini,
Kutaburkan wangi kemboja yang kukeringkan untuk hiasan pusara hati.
Kubingkaikan bahagia yang kukutip dari retak kenangan.
Kesedihan ini bukan untuk tatapan kalian.
Senyuman ikhlas buat yang pernah hadir, telah hadir dan akan hadir mengiringi tawaku.

Kedukaan bukan racun pemusnah semangat.
Kedukaan itu arang pembakar hasrat.
Kutongkatkan sisa bahagia yang tertinggal dicelah kesibukkan fikiran.
Kutongkatkan sisa suka yang masih mengalir pada merah darah kehidupan.


Masih ada nadi berdenyut,
Walau terlalu lemah..




Kamalia menukilkan pada 10.31malam, 20 mei 2010, sunway

Merindui Kerinduan

Ribut kecil lewat petang tadi mendodoikan perasaan ini,
Hati jadi sayu, namamu aku seru dalam kelu,
Rindu menjadi kerinduan, merindukan perindu yang ditinggalkan.
Ribut kecil ini membawa khabar perasaanmu,
Pesanan di angin lalu itu aku jawab.

Maafkan aku, aku juga merindu,
Berayun-ayun perasaan ini mengingatimu,
Maafkan aku..aku hanya mampu mendoakan kebahagiaan,
senyuman yang kau berikan cukup memberi kekuatan,
Perpisahan sudah jadi kenyataan, jika diberi pilihan,..aku akan lebih sayangkan persahabatan.

Perasaan merindu ini adalah kerinduan,
Perasaan ini adalah perasaan, hanya perasaan,
Pepohon yang ditiup ribut kecil aku menghanyutkan perasaanku,
Dedaun itu menyegarkan ingatanku.
Tertunduk menahan sebak yang bertamu,
Aku akan kuat bertahan demi bahagaiamu,
Biar laut perasaan ini penuh dengan debar sebak merindu,
aku suka ia begitu.

Kerinduan ini mendewasakan perasaan,aku akan terus merindu dan akan kulaungkan pada angin lalu, aku rindu. kerinduan ini akan terus merindu.

Kamalia. 8.11. 20 Mei 2010. sunway

Wednesday, May 19, 2010


ilham , oh ilham! hehehe

Monday, May 17, 2010

Memuaskan Perasaan.

Sepi awal pagi ini mewujudkan sedar pada lenaku.
Resah menjadi kegelisahan
Sepi menyepikan,
Rindu merindukan,
Risau merisaukan,
Perasaan ini tidak pernah puas,
Kepuasan perasaan ini tidak pernah dipuaskan.

Perasaan ini mengheret aku ke persidangan perasaan-perasaan menjadi tetamu kehormat.
Persidangan yang membentangkan pelbagai isu dan persoalan bertemakan prasangka,
Persidangan itu berlangsung dalam dewan fikiran,
Segala perasaan bersidang tanpa sebarang usul dan bangkangan,
Sepanjang persidangan bersidang hati hanya jadi pemerhati, akal hanya mampu menyangkal,
fikiran sebagai pemerhati.
Persidangan perasaan itu berlangsung.

Dewan fikiran jadi penuh.
Awal pagi yang selama ini sepi menjadi riuh, gemuruh dengan keluh dan tepukan gemuruh ahli-ahli perasaan.
Cemburu menjadi tetamu kehormat.
Prasangka menjadi jurukira,
Marah menjadi pengarah,
Benci menjadi jurubanci,
Kecewa menjadi setiausaha,
Dendam menjadi jurucakapa dewan.
Iman menjadi garis panduan persidangan.

Perasaan ini tidak akan dipuaskan ,memuaskan perasaan bagai menabur garam dilautan.
Dalam keriuhan perasaan bibir hanya terdiam menginzinkan persidangan itu mengundang ilham.
Segala keputusan persidangan diminitkan sebagai rujukan.
Namun perasaan masih belum puas,
Tiada kepuasan dapat dipuaskan.

Kamalia.
2.43 pagi
18 Mei
2010
Sunway

Kendongan perasaan.

Soalan tanpa tanda tanya.
Persoalan tanpa pertanyaan,
Menduga tanpa diduga,
Perasaan ini penuh dengan mengendong persoalan.
Perasaan ini tidak pernah berhenti menyoal mencri jawapan.

Perasaan ini makin sarat mengendong,
Kendongan itu makin berat. namun bibir aku kunci rapat.
Bibirku getap erat.
Perasaan hanya perasaan .
Tika fikiran sibuk menyoal,
Ketika fikiran sibuk bertanya,
Aku mencipta jawapan dengan tanda soal yang maha besar menutup mata.
Kucoretkan kisah duka hingga hati ini merasa lara.

Kedukaan itu memanaskan perasaan yang beku.
Kesepian itu membakar lembah kerisauan.
Tangisan melimpah.
Sendu menjadi irama syahdu mengiringgi tawaku.
Jika perasaan ini menjadi warna kehidupan yang menghiasi malap perasaanku
akan kuhias ia menjadi laluan nafas ini,'
akan aku ukirkan ia menjadi ukiran maha indah untuk kuabadikan perasaan yang lahir tika ini,
Perasaan ini mengendong perasaan.
Aku tebarkan jala perasaan dilautan kehidupan.
Hanyut dan bertebarlah dikau perasaan.
Kelak suatu hari akan kutarik ia,
hasilnya, akan kukendong sedalam dasar lautan perasaan.

Kamalia. 2.25 pagi
18 Mei
2010
sunway

Saturday, May 15, 2010

Buatmu Guru

Insan guru itu,
siang malamnya penuh dengan impian melihat anak muridnya berjaya,
Bicara perbualan masyarakat guru hanyalah perihal anak murid,'
"susah hati betul ..melihat anak muridku itu, apalah dia akan jadi apabila besar nanti"\
Perbualan guru-guru hanya berkisar buku tulis dan buku kerja murid-murid.

Insan guru,
Baju pakainya sederhana,
keretanya juga, paling banyak keluaran negara.
pertengahan guru mula garu kepala.
Gaji kecil tak apa, tapi hati puas melihat anak murid pandai tulis baca.

Insan guru,
masyarakat guru kaya dengan penghormatan.
kaya dengan nasihat,
kaya denga ilmu,
kaya pengalaman,
kaya memberi pedoman.

Hari guru ini, bukan hadiah dari tangan-tangan kecil yang kami harapkan,'
Hari Guru ini, bukan kalungan bunga dan sambutan besaran kami mahukan,
memadai bagi kami, ucapan terima kasih,
sudah lebih cukup dari kami salaman ikhlas dari kalian anak-anak kecil.


Marah seorang guru umpama seorang ibu,
Teguran seorang guru umpama seorang ibu,
Kalian, anak-anam muridku adalah impian kami,
Belajarlah kalian,'
Tuntutlah ilmu,
Hormat ayah ibu,
Dengar kata guru,
solat bila masuk waktu,
jaga tutur laku.
Doa, kami semua para guru mengiringimu..


Hari ini, jika seorang guru gembira, akan lahirlah perwira.
Hari ini, jika seorang guru bangga, akan lahir jurukira,
Hari ini, jika seorang guru ketawa, akan lahirlah mahasiswa,
Hari ini, jika seorang guru bahagia, akan lahir pendidik bangsa

Dalam hati guru itu ada kasih
Dalam jiwa guru ada harapan.
Mata guru membimbing kalian melihat masa depan,
Tangan guru membimbing kalian jauh dari kesilapan,
Teguran guru untuk kebaikan,

Kamalia. 9.59 malam. 15 Mei 2010. sunway

Thursday, May 13, 2010



8 mei 2010...

Dadah Pemusnah Bangsa

Salam sejahtera,
salam sejahtera aku ucapkan kepada semua.

Barisan pentadbir yang saya hormati, P\
Para guru yang saya sayangi,
saudara-saudaraku,
rakan-rakanku,
adik-adikku.

Pagi cerah indah meriah ini ,
aku menghadirkan diri untuk meluahkan isi hati.
Hadirin sekalian,
Dadah pemusnah negara,

Ramai yang telah menjadi mangsa,
Mulanya hanya suka-suka,
Dari sebatang rokok, menular ke marijuana dan ketagihan memaksa mereka menjual nama,
Ketagihan mula dirasa,
Badan akan menggigil, keinginan meronta,
Ada yang sanggup mencuri, meragut malah lebih menyedihkan kawan-kawan,
Ada yang sanggup mencederakan ibu sendiri kerana dadah.

Kawan-kawan,
Mahukah kita jadi seperti mereka,
Sampah masyarakat!
Memalukan , menyusahkan keluarga!
Merugikan negara.
Tenaga muda kita ini untuk berusaha,
Kederat muda kita ini untuk bekerja.
Membalas jasa ibu bapa yang melahirkan kita.
Menjadi orang berjaya!

Mulai saat ini, kawan-kawan,
Marilah kita berjanji,
Marilah kita berjanji,
Berjanjilah,
Saya tidak akan merokok,
Saya tidak akan mengambil ganja,
Saya tidak akan mengambil pil estacy,
Saya TIDAK AKAN sesekali mengambil dadah.
SAYA TIDAK MAHU JADI PENAGIHHHHH!



Terima kasih kawan-kawan.
Usia muda ini untuk kita menuntut ilmu,
Jangan jadikan dadah pemusnah impianmu.
Aku berundur diri dahulu.
Terimakasih,
para penntadbir,
para guru,
saudara-saudaraku,
rakan-rakanku, adik-adikku,

Sekian terima kasih.



Sajak ini dicipta sempena Minggu Anti Dadah SK. Bandar Sunway, 2010. Kamalia, 14 Mei 2010, 7.25 pagi. sunway