Lambat benar ilham ini hadir,
titis-titis kata indah tidak mampu memenuhkan kolam idea yang kutadah selama ini,
Kemaraukah kotak ilham?
Malam yang hitam tanpa setitik cahaya ini membesarkan lagi bebola mata ini mencari ilham.
Sepi malam ditemani deru kipas dan dengkur membawa jauh lena .
Fikiran menerawang bertemankan sepatah frasa yang akan kuuntai kujialin menjadi jala kata-kata,
kelak akan kutebarkan pada laut perasaan kelam sekelam malam ini.
Hasilnya apa sahaja yang indah, agar dapat kusajikan pada jiwa yang lapar idea.
Ingin benar kulurut kenangan yang bersimpul pada dahan ingatan,
kenangan-kenangan yang sedia masak dan ranum untuk kukait,
Menjadi penunggu ilham-ilham di dusun idea ini menjadi aku pemerhati yang peka,
Apakah ilham yang luruh malam ini?
No comments:
Post a Comment